tan malaka

tan malaka

kalau sudi jadi pengikut add kt sini

Selasa, 10 Julai 2012

debat soi lek vs guan eng




ebat Soi Lek vs Guan Eng .... Memalukan MCA..






Apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, melalui cabutan undi, berjaya menjadi pemidato pertama; saya sudah boleh mengagak apa kesudahan debat ronda kedua MCA lawan DAP yang diadakan di Sunway Convention Centre.

Kalaulah saya ini Cina, dan kebetulan menjadi ahli MCA, pastilah saya akan menyorokkan muka saya di dalam guni bawang dan tidak lagi bertemu dengan mana-mana teman penyokong Pakatan Rakyat, kerana begitu berat malu yang ditanggung.

Bahkan saya barangkali sanggup untuk lakukan pembedahan plastik dan menggunakan nama baru supaya orang tidak kenal saya lagi. Dan kemudian senyap-senyap saya isi borang DAP dan tinggalkan MCA selama-lamanya. Begitu besarlah malu yang ditanggung MCA kerana menghantar Chua Soi Lek, presidennya itu untuk berdebat menentang Guan Eng – untuk kali yang kedua.

Seolah-olahnya tidak cukup sekali kena belasah. Maka saya harus hormati keberanian Soi Lek untuk berdepan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang itu buat kali kedua. Bos beliau, sang Perdana Menteri Najib Tun Razak, masih lagi belum ketemu semangat (barangkali kena mandi bunga) untuk berdepan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meski pun Anwar rela beliau diberi sekadar tiga minit, dan Najib sepuluh minit untuk berbalas hujah.

Ini disebut Guan Eng pada awal debat, mengingatkan kita pada cabaran debat Anwar yang sehingga hari ini dielak oleh Perdana Menteri; sementara presiden MCA ternyata lebih berani untuk menyampaikan hujah-hujahnya – walau pun hujah-hujah beliau itu sekadar diketawakan penonton dan Guan Eng sendiri.

Debat ronda kedua ini mulanya mahu dilakukan dalam bahasa Inggeris, memandangkan ramai benar yang berang kerana ‘tak faham cakap Cina’ apabila debat pertama berlangsung dalam bahasa Mandarin. Namun setelah Guan Eng ditetapkan sebagai pemidato pertama, beliau menggunakan Bahasa Malaysia, bahasa rasmi DAP. Kedengaranlah dari penjuru sebelah MCA sana pekik lolong mahukan Guan Eng bercakap bahasa orang putih. Seolahnya tidak pernah belajar Bahasa Malaysia di sekolah.

MCA parti Cina

MCA ini secara terang nyata ialah sebuah parti politik orang Cina. Jika ia parti yang terbuka dan tidak eksklusif, pastilah namanya pun bukan Malaysian Chinese Association. Jadi sebagai sebuah parti orang Cina, saya tidak pasti bagaimana presidennya boleh menuding jari kepada DAP dan menuduh DAP pula sebagai sebuah parti cauvinis Cina. Barangkali Soi Lek terlupa MCA bukan UMNO. Barangkali Soi Lek tidak pernah dimaklumkan tentang wacana-wacana dasar DAP.

Debat kali ini pula adalah debat dasar. Ini lebih terang nyata terpampang di belakang kedua-dua pemidato. Namun adalah amat benar persoalan yang diutarakan Guan Eng tentang kelayakan MCA untuk bercakap tentang dasar, memandangkan MCA bukanlah bos dalam Barisan Nasional. Bahkan yang sebenarnya abang besar dalam BN ialah United Malays National Organisation, dan presiden parti itu masih lagi enggan berdebat secara terbuka dan boleh pula memberikan alasan-alasan budak tadika.

Guan Eng hadir ke pentas debat dengan nawaitu jelas untuk bercakap bagi pihak rakyat Malaysia. Bukan semata-mata bagi pihak orang Cina, tetapi juga Melayu, India, Iban, Kadazan, Murut, Dayak, Punjabi dan segala kaum yang sedang merana di bawah urus tadbir Barisan Nasional. Berbeza halnya dengan kehadiran Chua Soi Lek yang pastinya tidak membawa agenda orang Melayu atau India. Itu kan kerja UMNO dan MIC.
Itulah dia masalah besar negara ini yang menjadi hasil kerja buat UMNO selama lebih lima puluh tahun – memecahbelahkan rakyat kepada fraksi-fraksi kecil berasaskan kaum, agar tidak mereka ini membentuk perpaduan rakyat yang kuat untuk menuntut perubahan dalam dasar-dasar pentadbiran kerajaan.

Dasar-dasar DAP jelas nyata dan telah pun terbukti bukan sekadar cakap kosong. Sebagai sebuah parti demokrasi sosial, ia mengangkat hak rakyat dan kebajikan rakyat sebagai keutamaan. Ini disebut Guan Eng berkali-kali, memandangkan Soi Lek rajin benar menjaja penipuan, lupa barangkali terhadap salah-silap MCA yang berdiam diri apabila Dasar Ekonomi Baru kena ‘hijack’ oleh pihak-pihak tertentu.

Ya, itu yang keluar dari mulut Soi Lek – “DEB kena hijack”. Saya sekadar boleh geleng kepala dan tepuk tangan. Apa pula yang MCA lakukan apabila DEB sudah kena hijack? Apa ideologi politik MCA, selain menjadi parti politik etnosentrik yang demikian rasis dan bodoh sombong, terutamanya dalam hal sensitiviti terhadap orang bukan Cina.

MCA pandang rendah kaum lain?

Ini juga meluncur keluar dari mulut Soi Lek, kononnya orang Sabah dan Sarawak tidak mampu bersaing dengan orang Lembah Klang, dan kerana itu hanya Barisan Nasional yang berpusat di Putrajaya berkuasa menolong mereka. Mustahil mereka boleh bantu diri sendiri. ‘No way!’ kata Soi Lek. Ajaib apabila dia mengakui hal ini terjadi kepada negeri yang kaya dengan hasil petroleum dan hasil hutan selepas puluhan tahun menyertai persekutuan Malaysia. Mustahil Soi Lek tidak tahu bahawa Sabah dan Sarawak itu negeri kaya.

Yang saya agak pasti ialah Chua Soi Lek memang tidak tahu bahawa memang wujud negara-negara yang menawarkan pendidikan yang dibiayai kerajaan. Dengan selamba dia menyuruh media memetik kata-katanya bahawa tidak ada negara yang memberikan pendidikan percuma.

Di sini saya bertambah yakin dan percaya bahawa Soi Lek memang tidak pernah ke Turki. Kalau pun pergi, mungkin hanya untuk makan angin. Mungkin juga dia tidak tahu pendidikan percuma wujud di Norway, Finland, Denmark, Brazil dan Sri Lanka.

Begitu kelam kabutnya Soi Lek ini sehingga tidak sedar bahawa dia telah dengan jayanya mengetongsampahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz, apabila dengan lancar lidah menyebut bahawa dia tidak perlu respon kepada kenyataan Nazri tahun lalu yang mendakwa MCA seperti isteri yang ditinggalkan suami dan mencabar MCA meninggalkan Barisan jika tidak setuju dengan dasar UMNO.

Alasan Soi Lek yang enggan mengulas kenyataan itu adalah kerana Nazri bukan orang besar yang membuat keputusan-keputusan besar. Macamlah Soi Lek ini menteri. Oh ya, dia bekas menteri. Padanlah dia masih rasa macam dia ini ada kuasa eksekutif. Tak sedar diri.

MCA mahu merudumkan Pulau Pinang?

Saya tambah geli hati apabila Soi Lek cuba menjelaskan alasan kegagalannya untuk menunjukkan sebarang prestasi sebagai Pengerusi Penang Port Comission (PPC); sambil disambut hilai tawa hadirin, dan tidak kurang juga Guan Eng, yang berdekah-dekah ketawa di atas pentas. Bersungguh benar dia mempertahankan langkah pengswastaan kerajaan terhadap pelabuhan Pulau Pinang.

Tambah memalukan, Soi Lek gagal menyebut bahawa Penang Port Sdn Bhd (PPSB) berjaya mengaut untung bersih berjumlah RM15 juta, seperti yang telah dilaporkan bulan lalu; tetapi Soi Lek mendakwa bahawa PPSB sekadar beroleh untung RM180,000.

Sebagai orang Pulau Pinang, saya kasihan melihat insan ini yang mendakwa dirinya pengerusi PPC tetapi tidak pula tahu bahawa perjanjian untuk mendalamkan dasar laut di pelabuhan itu adalah sebahagian daripada perjanjian pengswastaan. Kalau ini pun dia tidak ambil tahu, benarlah kata Guan Eng; berilah balik pelabuhan kepada rakyat Pulau Pinang, biar kerajaan negeri tunjukkan bagaimana caranya untuk mentadbir dengan meletakkan kepentingan rakyat lebih dahulu daripada kepentingan kroni.

Chua Soi Lek berjaya bikin malu seluruh penyokong MCA yang semakin perlahan sorakannya menjelang akhir perdebatan. Tidak lagi ramai yang mahu melaungkan zikir menyebut namanya, bahkan untuk bertepuk tangan pun sudah tiada bersemangat lagi.

Maka benarlah cadangan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang dilaporkan menyuruh Guan Eng supaya batalkan sahaja niatnya untuk berdebat dengan si Soi Lek ini kerana dia bukanlah orang yang layak untuk diajak berdebat tentang polisi dan kebijakan. Akhirnya presiden MCA itu sekadar mampu membuat serangan-serangan tumpul terhadap dasar-dasar DAP dan Pakatan Rakyat.

Inikah dia presiden yang dibanggakan MCA? Saya betul-betul berharap kalau-kalau Chua Jui Meng, Ong Tee Kiat dan Lee Hwa Beng ikut hadir dalam debat semalam; pastilah besar ketawa mereka melihat telatah Soi Lek.

Penyudahnya apa?

Jadi adakah debat ronda kedua ini debat yang berjaya? Pastilah tidak. Ini seperti kebiasaannya hanyalah usaha Barisan Nasional mencari peluang untuk memalukan DAP, tanpa menyedari bahawa langkah tersebut akan memalukan diri mereka sendiri. Macam menepuk air di dulang, sudahlah kerjanya sia-sia, muka sendiri juga yang basah.

Tidak ada dasar dan jalan keluar yang ditawarkan MCA. Sebagai seorang Melayu, saya tidak pernah mengharapkan dasar MCA akan menguntungkan saya. Buat apa saya mahu berharap begitu, MCA kan terang nyata parti orang Cina. Tetapi DAP parti berbilang kaum. Maka berbeza pendekatannya terhadap orang Melayu.

Apakah keuntungan yang orang Melayu dapat daripada debat kali kedua ini? Bagi Melayu yang celik hati, pastilah akan lebih terbuka fikirannya terhadap persepsi salah yang menjadi momokan UMNO bahawa DAP ini parti Cina kerana Guan Eng tidak membawa semata-mata keresahan orang Cina di debat tersebut. Beliau malah bertutur dalam Bahasa Malaysia, supaya orang Melayu dan orang bukan-Melayu yang fasih berbahasa Malaysia yang menonton debat tersebut dapat menilai dengan mudah akan kebijakan dan tawaran-tawaran DAP dan Pakatan Rakyat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan