tan malaka

tan malaka

kalau sudi jadi pengikut add kt sini

Selasa, 25 September 2012

Kerugian BNM RM30 billion timbul kembali




Saya berasa lega apabila isu kerugian Bank Negara Malaysia sebanyak lebih dari RM30 billion dalam pertukaran wang asing hasil dari tindakan Nor Mohamad Yakcop yang telah membabitkan Bank Negara Malaysia (BNM) dengan ‘forex trading’ pada 1992 dahulu timbul di dalam sidang Dewan Rakyat. Saya berasa lega kerana saya pernah dibelasah oleh pembaca blog saya semasa itu kerana menulis tentang isu ini. Saya dituduh membuat fitnah dan tidak bertanggungjawab.



Seperti biasa Dr Mahathirlah yang mempertahankan Nor Mohamad Yakcop dan tidak membenarkan Menteri Kewangan semasa itu untuk mengambil tindakan terhadap Nor Mohamad Yakcop. Jika ditanya Nor Muhamad Yakcop beliau dengan tangkas sahaja berselindung di bawah ketiak Dr Mahathir dan berkata tindakan beliau itu adalah di atas arahan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohammed.


Saya berasa lega kerana Parlimen telah bertanya di Dewan Rakyat untuk mengetahui berapa jumlah kerugian sebenarnya dalam skandal pertukaran wang asing itu. Kerugian dari pertukaran wang asing ini merupakan kerugian yang terbesar dalam sejarah negara dan tidak ada sebab Nor Mohammad Yakcop tidak boleh diambil tindakan semasa itu.


Perdana Menteri telah memberitahu Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim, supaya jangan mengambil tindakan terhadap Nor Mohammad Yakcop dan Nor Mohamad Yakcop telah berhenti dari BNM. Selepas kerugian yang dilakukan oleh ketua jabatan perbendaharaan BNM itu beliau telah dinaikkan pangkat dan darjat di dalam kerajaan dengan perlantikan beliau sebagai penasihat ekonomi kepada kerajaan persekutuan.


Di negara ini jika seseorang itu berada di dalam kroni Perdana Menteri dan melakukan kesalahan besar mereka akan dinaikkan pangkat dan tanggungjawab yang lebih besar lagi. Nor Mohammad Yakcop sejak itu telah dinaikkan taraf dan kedudukan beliau oleh Dr Mahathir sehingga beliau menjadi Menteri Kewangan dan sekarang Menteri yang penting dalam Jemaah Kabinet negara.


Saya telah banyak menulis tentang etika kepimpinan dalam blog ini sejak beberapa tahun dahulu. Manusia yang diberi tanggungjawab oleh Perdana Menteri, Mahathir, kebanyakannya adalah mereka yang tidak berkelayakan dari sudut moralnya untuk memikul apa-apa tanggungjawab dalam perkhidmatan awam. Bagi Mahathir rekod buruk seseorang itu tidak penting dan mereka diberi kemudahan untuk menjawat jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam. Yang penting seseorang itu mestilah taat setia tanpa berbelah bagi. Apa yang akan mendatang hasil dari pilihan yang salah itu tidak penting.


Kalau salah kata sistem dan etika kenegaraan, benar kata Dr Mahathir. Mahathir memang tidak boleh bekerja dengan pemimpin yang baik yang tiada masalah ‘baggage’ peribadi. Lagi besar masalah seseorang itu lagi senang hati Dr Mahathir untuk melantiknya kerana melantik orang-orang seperti ini akan memudahkan beliau untuk mengawal mereka.


Bagi Dr Mahathir sistem dan etika itu boleh dipersetankan. Apa yang akan terjadi kemudian hari itu tidak penting dan semua yang berlaku sekarang ini adalah kerana pimpinan tidak boleh menahan diri dari melantik mereka yang rapat dengan mereka (pimpinan) walaupun tidak mempunyai ‘moral standing’ untuk menjawat jawatan terpenting kerajaan kita. Orang yang mencuri diberi tugas untuk menjaga harta benda rakyat.


Akhirnya tidak ada di kalangan yang dibawa ke tengah oleh Dr Mahathir boleh dipercayai untuk menjaga nasib anak bangsa dan negara seperti yang sedang kita rasakan akibatnya sekarang ini. Penggubal dasar yang diamanahkan untuk menjaga kementerian (Menteri) yang sepatutnya memerhati dan memastikan segala dasar dilaksanakan dengan betul termasuk mengelak daripada rasuah kini bersekongkol dengan pegawai tertinggi kementerian mereka dan bersama-sama melakukan rasuah.


Kalau begitu keadaannya kita hendak bertanya, di manakah rakyat hendak meletakkan harapan mereka yang ramai untuk menjaga negara dan kerukunan rakyat? Sekarang rakyat sudah mual dengan janji-janji yang ditabur oleh pimpinan hari ini, maka adalah tidak salah jika rakyat yang sudah begitu lama melakukan 'soul searching’ untuk bertindak mengikut lunas yang dibenarkan oleh perlembagaan negara iaitu melalui pilihanraya yang akan datang ini.


Sesungguhnya pimpinan UMNO baru menyedari penolakan rakyat terhadapnya dan barulah kita mendengar pemimpin yang begitu takbur dan sombong merayu dan meminta belas ehsan rakyat tetapi semuanya itu sudah terlalu lambat untuk mendapat pertimbangan rakyat. Pemimpin yang berkuasa kini sudah menjadi kembiri politik merayu dan menadah tangan untuk mendapatkan sambungan mandat rakyat.


Dua tiga hari yang lepas Najib merayu agar beliau diberikan peluang untuk berada di Putrajaya sepenggal lagi seolah-olah pembangkang sudah memerintah lama di negara ini. Selama ini rakyat telah memberikan kepada BN sebanyak 12 kali peluang dan ia bermakna BN telah memerintah selama 12 penggal. Bukankah selama ini BN telah diberikan peluang itu oleh rakyat?


Sepatutnya pembangkanglah yang meminta untuk diberikan peluang penggal ini untuk membuktikan kemampuan mereka mentadbir kerajaan persekutuan kerana PR telah menunjukkan rekod yang baik dalam mentadbir empat buah negeri dalam persekutuan ini. Jika PR tidak berkemampuan untuk melaksanakannya rakyat masih berhak untuk mengembalikan kuasa kepada pihak BN dalam pilihanraya yang berikutnya.


Tetapi buat kali ini mandat wajar diberikan kepada pihak alternatif dan rakyat sudah ramai menerima hakikat yang BN terutamanya UMNO sudah sewajarnya duduk di pihak pembangkang di Dewan Parlimen penggal ini untuk memberi peluang untuk mereka melakukan introspeksi terhadap diri mereka serta memperbaiki diri mereka supaya lebih memahami yang manusia dan makhluk itu sentiasa berubah. Manusia termasuk rakyat negara kita juga ingin bersama berubah kerana mereka bukan makhluk yang statik. Rakyat mahu merasakan ‘ambience’ baru dalam negara setelah begitu jemu mengalami di bawah pentadbiran yang mengelirukan ini.


Rakyat ramai juga ada perasaan. Bukan pemimpin UMNO sahaja yang mempunyai perasaan itu. Bukankah kita ini manusia yang merupakan secantik-cantik kejadian Tuhan? UMNO mesti menghormati rakyat dan jangan terus menerus mempersendakan perasaan rakyat yang sedang melakukan introspeksi diri dengan serius.


UMNO wajar memberhentikan buruk laku ini. Jadilah sebuah parti yang 'gentleman'. Jangan jadi parti ‘gila talak’. Apabila sampai waktu duduk di luar, duduklah di luar.

Posted by Aspan Alias at 09:25

2 ulasan: