tan malaka

tan malaka

kalau sudi jadi pengikut add kt sini

Ahad, 23 September 2012

337 Penghuni “Minum Air Mayat” Tuntut RM100 Juta









Tawau – Sejumlah 337 penghuni perumahan Taman Titingan di sini hari ini memfailkan tuntutan saman berjumlah RM100 juta terhadap Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan Jurunilai & Perunding Hartanah Sabah (JPHS) atas dakwaan cuai sehingga menyebabkan mayat hampir reput dijumpai di dalam tangki simpanan perumahan berkenaan.

Penduduk yang diwakili peguam Chong Kian Ming, memfailkan saman terhadap MPT sebagai defendan pertama dan JPHS selaku defendan kedua di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, di sini kira-kira 2.45 petang.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa pada 12 Mei 2012, selepas beberapa kali membuat aduan sejak 30 April 2012 berhubung bau air paip tidak menyenangkan di perumahan itu, seorang daripada pekerja defendan menjumpai mayat hampir reput di dalam satu daripada tangki simpanan air perumahan itu.

Plaintif juga mendakwa sejak 20 April 2012, mereka menyedari perubahan bau air tidak menyenangkan yang dibekalkan kepada mereka dari tangki simpanan berkenaan dan mereka telah meminum serta menggunakan air dari tangki yang dicemari mayat hampir reput itu.

Menurut plaintif, penemuan mayat hampir reput yang tidak diketahui identitinya dan bukan penghuni perumahan itu di dalam satu daripada tangki simpanan perumahan Taman Titingan, adalah disebabkan kecuaian defendan kedua yang merupakan ejen defendan pertama.

Plaintif mendakwa pihak defendan telah melakukan enam kecuaian termasuk membiarkan tangki simpanan berkenaan tidak dikawal sehingga memudahkan sesiapa sahaja memasukinya dan gagal menghalang si mati daripada memasuki kawasan perumahan seterusnya masuk ke dalam satu daripada tangki simpanan di situ.

Plaintif mendakwa pihak defendan telah cuai sehingga gagal mengambil langkah berkesan bagi menghalang sesiapa sahaja daripada memasuki kawasan tangki simpanan air perumahan itu.

Defendan juga didakwa cuai dengan tidak mengambil langkah berkesan sama ada memeriksa dan menjalankan ujian bagi memastikan tidak ada dan tidak akan ada risiko pencemaran apabila plaintif membuat aduan kepada defendan kedua mengenai perubahan bau air berkenaan.

Plaintif mendakwa disebabkan kecuaian defendan berkenaan, mereka telah terminum air tercemar dalam tempoh tertentu dan akibatnya mereka sangat tertekan.

Selain menuntut RM100 juta, plantif juga menuntut supaya semua paip di dalam atau di luar rumah penghuni serta kesemua tangki simpanan air perumahan berkenaan diganti dengan yang baharu.– BERNAMA


Penduduk ‘Terguna’ Air Mayat Reput Dalam Tangki Air

Mayat seorang lelaki bogel dan hampir reput dijumpai di dalam sebuah tangki simpanan air di Projek Perumahan Rakyat Sri Titingan.

Mayat dijumpai oleh seorang kakitangan pengurusan perumahan berkenaan kira-kira 8.30 pagi selepas mendapat aduan penghuni bahawa air yang mereka gunakan sejak seminggu lalu berbau seperti bahan pencuci dan busuk.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Ibrahim Chin, mengesahkan penemuan mayat berkenaan.

“Siasatan awal kita mendapati tiada unsur jenayah dalam kes ini namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Apas, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, mahu Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kimia sentiasa memeriksa tangki simpanan air di kawasan perumahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan