tan malaka

tan malaka

kalau sudi jadi pengikut add kt sini

Rabu, 28 Mac 2012

Daerah YAN - Kes Jenayah turun tapi Kes Rogol meningkat..!!

 

Kes jenayah rogol meningkat
27 Mac 2012
Ikrar taat setia sempena Hari Polis Ke-205 Peringkat Daerah Yan.
YAN - Kerjasama baik antara orang awam dan polis, antara faktor indeks jenayah dicatat pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan dapat dikurangkan 10.7 peratus antara tahun 2011 dan 2010.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu berkata, jumlah keseluruhan kes jenayah di daerah ini dicatatkan 243 kes pada 2010, namun berkurangan menjadi 217 kes pada tahun 2011 iaitu pengurangan sebanyak 26 kes.

“Kes jenayah dipecahkan kepada dua iaitu jenayah kekerasan dan jenayah harta benda. Walaupun berlaku pengurangan peratusan indeks jenayah, namun jumlah kes yang dikategorikan dalam kes jenayah kekerasan meningkat.

“Jenayah kekerasan meningkat daripada 39 kes (2010) menjadi 66 kes (2011). Kita telah mengenal pasti mengenainya dan mendapati jumlah kes rogol meningkat pada tahun lepas bagi daerah ini,” katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Polis Ke-205 Peringkat Daerah Yan, di IPD Yan, di sini.

Ceramah khas di sekolah

Dalam pada itu, Ismail berkata, pihaknya telah merangka pelbagai mekanisme bagi membendung kes jenayah khususnya kes rogol yang menyebabkan jumlah kes jenayah kekerasan meningkat tahun lepas.

Katanya, antara mekanisme yang dilaksanakan pihaknya ialah mewujudkan jawatankuasa memberikan ceramah khas mengenai jenayah rogol di sekolah-sekolah.

“Kita ada pegawai perhubungan sekolah untuk melaksanakan program ceramah khas ini iaitu memberikan penerangan mengenai jenayah rogol khususnya kepada pelajar.

“Ini disebabkan ada antara kes ialah bermula dengan suka-suka, namun bertukar menjadi pertuduhan merogol apabila situasi berubah dan ia sudah tentu melibatkan remaja belasan tahun,” katanya.

Ismail berkata, justeru, sempena Hari Polis kali ini, kadar indeks jenayah diharap dapat dikurangkan pihaknya sebanyak lima peratus setiap tahun dengan pelbagai mekanisme digunakan termasuk bekerjasama dengan masyarakat.


Kemalangan maut membimbangkan

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Yan, Inspektor Ahmad Salimi Md Ali berkata, jumlah kemalangan maut di daerah ini sejak Januari hingga Mac tahun ini semakin membimbangkan.

Menurutnya, sejak Januari hingga Mac lalu, kemalangan maut yang dicatatkan pihaknya adalah sebanyak enam orang, membabitkan kemalangan motosikal.

“Kebanyakan kes maut membabitkan penunggang motosikal adalah berpunca daripada kecuaian penunggang sendiri.

“Ada antaranya tidak mematuhi peraturan jalan raya dan terbabas hingga menyebabkan berlakunya kemalangan maut,” katanya.

Ahmad Salimi yang turut menerima sijil penghargaan sempena Hari Polis kali ini, berkata, antara kawasan kerap berlaku kemalangan ialah di laluan Persekutuan iaitu Jalan Alor Setar-Sungai Petani dan Jalan Negeri iaitu Jalan Singkir-Guar Chempedak.

Menurutnya, pengguna jalan raya dinasihatkan lebih berhati-hati dan mendapatkan rehat secukupnya agar tidak mengantuk atau letih semasa memandu.


Pelbagai aktiviti April ini

Terdahulu, sempena Hari Polis Ke-205 Peringkat Daerah Yan, pelbagai aktiviti akan diadakan sepanjang April ini bagi menjalinkan hubungan mesra antara polis dan orang awam.

Ismail berkata, aktiviti bersama orang awam itu akan dimulakan dengan ‘Program jiwa murni’ iaitu gotong-royong antara anggota polis dan orang awam di Sungai Limau Dalam pada 4 April ini.

“Ini merupakan acara tahunan IPD Yan dan kita telah kenal pasti beberapa kawasan untuk kita adakan gotong-royong membersihkan surau, masjid dan tanah perkuburan.

“Gotong-royong ini diharap mengeratkan lagi silaturahim antara pegawai dan anggota polis dan masyarakat setempat seterusnya dapat menjalinkan kerjasama dalam menjaga keamanan dan keselamatan di sini,” katanya.

Ismail berkata, aktiviti seterusnya disusuli dengan Program Larian Hari Polis iaitu anjuran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Kedah dan IPD Yan bertempat di kaki Gunung Jerai 7 April nanti.

Katanya lagi, Pertandingan Golf Amal juga bakal diadakan pada 11 April di Permaipura Golf Club, Bedong, khusus kepada orang awam yang meminati sukan golf.

“Kemuncak program ialah pada 14 April ini apabila kita akan me-nganjurkan kayuhan basikal iaitu dari IPD Yan ke Balai Polis Guar Chempedak hingga IPD Yan. Orang ramai boleh menghubungi IPD Yan di talian 04-465 5222 untuk menyertai program dianjurkan sempena Hari Polis sepanjang bulan hada-pan,” katanya.


Penghargaan pada anggota dan orang awam

Difahamkan sempena sambu-tan Hari Polis pihaknya pada Ahad lalu, seramai 42 pegawai, anggota polis dan orang awam telah menerima sijil penghargaan.

Ismail berkata, 42 pegawai dan anggota polis serta orang awam menerima sijil terbabit daripada pihaknya, manakala tiga pegawai dan anggota polis menerima sijil penghargaan daripada Ketua Polis Negara.

“Selain itu, seorang anggota polis menerima sijil penghargaan daripada Timbalan Perdana Menteri. Sijil penghargaan ini bagi membakar semangat mereka meneruskan khidmat cemerlang demi menjaga keamanan dan keselamatan negara,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan