KUALA LUMPUR: Perbelanjaan lawatan rasmi yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri ROsmah Mansor berjumlah RM17,118,650.58 dalam tempoh 2008 hingga 2011
Perkara itu dinyatakan dalam jawapan bertulis terhadap soalan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang bertanya tentang jumlah perbelanjaan lawatan rasmi Perdana Menteri dan isteri serta Timbalan Perdana Menteri dan isteri mengikut tarikh, lokasi dan tujuan dari tahun 2008 hingga 2011.
Dalam jawapan tersebut, Najib dan Rosmah membelanjakan RM 1,739,332.85 (2008), RM 4,811,837.48 (2009) RM 5,140,307.99 (2010) dan RM 5,427,172.26 sehingga Jun 2011.
Manakala, kos keseluruhan lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri dan isteri bagi tempoh sama berjumlah RM 8,020,328.07.
Bagi peruntukan khas kepada Rosmah pula, Jabatan Perdana Menteri tidak menyediakan peruntukan khas bagi perbelanjaan mengurus. Perbelanjaan hanya diberi terhadap perkara yang melibatkan Pejabat Perdana Menteri sahaja
“Berbanding ketika Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, nampaknya Rosmah lebih banyak melancong. Kita lihat lawatan rasmi Perdana Menteri telah menjadi jadual pelancongan isterinya,” kata Tian ketika ditemui Keadilandaily.
Namun, kata Tian Chua, sehingga kini rakyat tidak melihat hasil lawatan tersebut membawa pulangan kepada negara.
“Apakah lawatan ini mendatangkan pulangan perdagangan dan perhubungan diplomatik yang lebih baik?
“Jumlah perbelanjaan ini menunjukkan peningkatan setiap tahun. Ketika rakyat terpaksa mengikat perut dan mengubah gaya hidup, Perdana Menteri dan isteri sewenang-wenangnya membelanjakan wang orang ramai untuk perkara yang belum tentu membawa faedah.
“Ketika mereka ke luar negara, permasalahan domestik masih tidak diselesaikan. Apakah ini maknanya rakyat didahulukan,” soal Tian Chua.
Dewan Rakyat sebelum ini pernah dimaklumkan kos keseluruhan lawatan rasmi Rosmah ke Arab Saudi, Oman dan Bangladesh yang ditanggung kerajaan berjumlah RM134,317.76.
Malah, Rosmah didakwa turut berbelanja hampir RM140,000 bagi penginapan hotel mewah di Atlantis, Dubai hanya untuk satu malam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan