Menurut peguam Fadiah Nadwa Fikri, DBKL juga merampas bekalan makanan mereka dalam serbuan pada kira-kira jam 12.30 malam tadi.
Ia adalah serbuan ketiga DBKL ke atas perkhemahan tersebut dalam tempoh kurang 24 jam. Aktivis yang berkumpul di situ enggan berganjak walaupun ada usaha mengusir mereka dan khemah serta bekalan mereka dirampas.
"Kami tiba selepas mendapatkan pembebasan empat pelajar (yang ditahan dalam serbuan sebelumnya) dari balai polis Dang Wangi dan mendapati berlaku kekecohan.
"Peserta protes itu kecewa kerana wang tersebut baru dikumpulkan hari ini. Mereka menganggarkan jumlahnya RM200 hingga RM300," katanya.
Fadiah berkata pegawai DBKL yang dikenali sebagai Fuat, yang berada di situ bersama 10 trak DBKL, memberitahu peserta protes tersebut bahawa mereka boleh mendapatkan barang-barang mereka semula esok di pejabat DBKL.
"Katanya, mereka tidak dapat memulangkannya sekarang kerana perlu disimpan di setor terlebih dahulu," kata Fadiah sambil menambah Fuat tidak menjelaskan mengapa kotak derma tersebut dirampas.
Mengesahkan perkara itu, Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia, Haziq Abdul Aziz berkata Fuat memberitahu mereka yang dia akan "cuba" mengenal pasti pegawai yang mengambil kotak derma tersebut.
Haziq menambah DBKL turut merampas beberapa khemah dan bendera, tetapi para pelajar berhasrat untuk terus berkhemah di situ malam ini.
"Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan berbuat apa-apa dengan begitu ramai kami di sini tetapi kita akan lihat apa yang berlaku pada waktu pagi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan