Seorang penduduk berstatus PR, Abu Talib Abdul Rahman mendedahkan, kumpulan warga asing dalam DUN Paya Jaras, Sungai Buluh Selangor, diberikan kad pengenalan secara mudah dengan bantuan Umno kawasan itu.
Beliau berkata, komplot sejak setahun lalu itu didalangi Adun Umno, Datuk Ir Bushro Mat Johor yang menang tipis pada PRU 2008.
“Saya menerima bukti dari warga Kemboja bahawa mereka mendapat status kewarganegaraan ‘segera’ dari Umno dan saya cuba mendapatkan kepastian termasuk dari Adun Paya Jaras sendiri.
“Saya turut ditawarkan oleh YB ini, namun saya tolak kerana ia jelas bertentangan dengan undang-undang. Saya boleh jadi warganegara jika saya mahu, namun enggan kerana berpendapat cara ini salah,” katanya ketika datang ke pejabat Suara Keadilan.
Abu talib berkata, beliau memohon menjadi warganegara Malaysia sejak 2002 dan sepanjang tempoh itu, beliau berulang alik ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), namun permohonannya gagal.
Beliau hanya diberi kad pengenalan yang memiliki tarikh luput di mana ia hanya akan diperbaharui menurut budi bicara JPN.
Berdasarkan rekod, tiga adik beradiknya yang lain adalah warganegara Malaysia dan beliau menjadi pemastautin tetap selepas kad pengenalannya hilang ketika berusia 15 tahun.
“Selepas saya merujuk kepada JPN, mereka memberi alasan sama, tunggu sahaja pengumuman dari kerajaan,” kata ayah kepada lima anak ini.
Ekoran itu, beliau berdepan pelbagai kesukaran termasuk anak-anaknya dinafi bantuan walaupun mereka warganegara Malaysia.
Katanya, beliau juga bertukar kerja sebanyak lima kali dan pernah menganggur selama dua tahun, selain bantuan zakat turut dinafikan kerajaan.
“Kalau saya ikut cara Umno untuk mendapatkan kad pengenalan, sia-sia sahaja usaha saya selama ini turun-naik ke pejabat JPN untuk memohon kewarganegaraan,” katanya kesal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan