tan malaka

tan malaka

kalau sudi jadi pengikut add kt sini

Rabu, 24 April 2013

PECAH BERITA! Calon BN Terbabit Skandal Pembinaan UiTM!



Satu lagi pendedahan terbaru, kali ini membabitkan calon Umno mewakili Barisan Nasional (BN) pula.

Rafizi Ramli hari ini mendedahkan syarikat milik calon BN parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman dianugerahkan projek bernilai RM1.3 bilion walaupun tidak mempunyai kelayakan dan rekod dalam pembinaan.

Tajuddin didakwa membuat keuntungan daripada pembinaan UiTM di Tapah menerusi syarikat miliknya Detik Utuh Sdn Bhd yang menjadi rakan kongsi kepada jurubina sebenar iaitu Crest Builder Holding Berhad.

“Walaupun syarikat miliknya (Detik Utuh) bukan syarikat pembinaan yang aktif dan mempunyai prestasi yang baik, tapi syarikat Tajuddin tersebut memperoleh RM1.3 bilion untuk membina UiTM Tapah,” kata Rafizi.

Pengarah strategi PKR tersebut mendakwa syarikat pegangan khas UniTapah Sdn Bhd yang bertanggungjawab menganugerahkan projek tersebut secara konsesi 23 tahun kepada Crest Builder dan Detik Utuh, sekaligus menjadikan kos keseluruhan RM1.3 bilion.

“Kos pembinaan UiTM Tapah hanyalah RM285 juta tetapi UniTapah diberikan konsesi selama 23 tahun untuk membina dan menyelenggara universiti itu pada jumlah RM1.3 bilion sepanjang tempoh konsesi tersebut,” tambahnya lagi.

Menurut Rafizi peningkatan tersebut adalah lima kali ganda daripada jumlah kos asal, serta mencabar Tajuddin untuk menyamannya jika tuduhan yang dihadapinya itu tidak berasas.

Daripada dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang didedahkan oleh Rafizi hari ini, Tajuddin didapati merupakan pemegang saham sebanyak 450, 000 unit dalam Detik Utuh.

“Detik Utuh ini hanya mendapat keuntungan atas angin dengan menggunakan Crest Builder untuk mengusahakan sepenuhnya pembinaan dan penyelenggaraan UiTM.

“Pada masa sama kosnya melambung lima kali ganda akibat pemberian konsesi yang menguntungkan Tajuddin... Dia boleh saman saya jika dakwaan saya ini tidak benar,” kata Rafizi lagi.

Rafizi juga berkata pendedahan hari ini menunjukkan janji Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak untuk meletak calon bersih dan mempunyai kredibiliti adalah janji kosong, malahan kes tersebut bukan yang pertama selepas lawannya di Pandan, Gary Lim, juga berhadapan dengan tuduhan salah laku profesional dengan bekas majikannya.

Majlis Peguam, dalam surat kepada Lim pada awal tahun ini, meminta Lim yang juga peguam untuk menjelaskan tindakannya dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan surat yang bertarikh 21 Januari 2013.

Peguam tersebut yang dipilih untuk menggantikan tempat penyandang Datuk Seri Ong Tee Keat juga berkata telah berhenti daripada mengamalkan undang-undang sejak setahun lalu kerana memegang jawatan sebagai ketua biro perundangan MCA untuk MCA bahagian Pandan.

“Dengan pendedahan ini menunjukkan janji Datuk Seri Najib untuk meletak calon yang bersih dan mempunyai kredibiliti adalah janji kosong,” tambah Rafizi.

Pada 2009, kredibiliti calon Umno yang bertanding dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir di Pulau Pinang, Rohaizat Othman, juga tercalar kerana berhadapan dengan ketidakpercayaan orang awam selepas beliau didedahkan telah dipecat pada 7 Mac 2008 kerana melanggar seksyen 103D Akta Profesion Undang-Undang (1976), yang meliputi salah laku peguam secara individu.

Kes Rohaizat ini melibatkan aduan berlakunya kehilangan sejumlah sumbangan wang berjumlah kira-kira RM61,000 daripada pihak berkepentingan Koperasi Pekebun Getah.

Pemecatan tidak menghalang calon daripada bertanding dalam pilihan raya, tetapi Pakatan Rakyat (PR) memanfaatkan kelemahan musuh politik mereka, membolehkan calon PAS Datuk Salleh Man untuk memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 4,551 undi.

Pilihan Raya 2013 dikatakan paling sengit dalam sejarah oleh kerana buat pertama kalinya, BN bakal berhadapan dengan pembangkang paling tersusun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan