tan malaka

tan malaka

kalau sudi jadi pengikut add kt sini

Sabtu, 8 September 2012

Bajet 2013: Bimbang daya tahan ekonomi negara


18 Syawal 1433H. [MOD] -

Merujuk kepada laporan yang dikeluarkan agensi penarafan kredit Standard & Poor’s (S&P) bertarikh 5 September terhadap kedudukan penarafan kredit dan kewangan negara, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menggesa pihak kerajaan Malaysia mengambil langkah segera untuk memastikan khazanah wang rakyat diurus secara lebih berhemah, demi kelangsungan daya saing dan daya tahan negara.

Kerisauan terhadap kadar defisit fiskal dan hutang negara yang tinggi, hasil daripada perbelanjaan kerajaan yang tidak berhemah menjadi alasan utama laporan tersebut yang memberikan amaran risiko penurunan penarafan kredit dan kewangan Malaysia.

Laporan S&P ini dilihat senada dengan sebuah laporan yang dikeluarkan oleh agensi penarafan kredit antarabangsa terkemuka yang lain, antaranya agensi Fitch Ratings yang turut menzahirkan kebimbangan yang sama terhadap kedudukan kewangan Malaysia dalam senario ekonomi global dan serantau yang tidak menentu.

Pemuda PAS berpendapat, jika rakyat ditegur untuk membuang tabiat gemar berhutang dan berbelanja melebihi pendapatan, seruan yang sama adalah lebih wajib kepada pihak kerajaan supaya tabiat buruk ini diberhentikan.

Tindakan berhutang untuk menampung perbelanjaan kerajaan dilihat umpama tabiat yang sukar dihakis apabila Laporan Perbendahaan Persekutuan mencatatkan hutang kerajaan persekutuan meningkat 70% dalam tempoh 5 tahun, daripada RM247 bilion pada tahun 2007 kepada RM421 bilion pada tahun 2011, berbanding pendapatan negara yang meningkat sebanyak 30% daripada RM140 bilion kepada RM183 bilion bagi tahun yang sama.

Pemuda PAS mendesak kerajaan Malaysia memberikan perhatian serius terhadap aspek perbelanjaan kerajaan dan beban defisit fiskal selama 14 tahun berturut-turut ini, natijah daripada sikap kerajaan yang berbelanja melebihi pendapatan sejak tahun 1998, malah rekod defisit yang sama turut diunjurkan bagi tahun 2012 dan 2013.

Apa yang lebih membimbangkan, kadar hutang negara yang kian meruncing di paras 52% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir tahun 2011 diunjurkan terus meningkat ke paras kritikal 55% jika tidak dibendung secara drastik dan holistik.

Pemuda PAS berpendapat, kerajaan perlu memberikan perhatian terhadap aspek dayatahan ekonomi negara (economic resilience) secara komprehensif, bukannya pemberian populis sementara (one-off contribution) yang tidak mampu mengeluarkan rakyat daripada belenggu bebanan sara hidup yang kian menghimpit.

Pemuda PAS menyarankan agar kerajaan Malaysia meneroka sumber pendapatan yang baru agar tidak terus bergantung kepada hasil petroleum, mengkaji mekanisma agihan subsidi dan bantuan kebajikan yang lebih efektif, penyusunan semula agihan peruntukan kepada sektor produktif khususnya pendidikan dan perubatan, serta pelaksanaan sistem tender yang telus untuk menghentikan ketirisan wang rakyat.

Malah, Pemuda PAS sekali lagi mengulang saranan yang sama agar jawatan Menteri Kewangan tidak lagi dipegang oleh Perdana Menteri untuk mewujudkan fungsi ‘semak dan timbang’ (check and balance) kerana mengikut rekod, Malaysia menanggung defisit fiskal yang berterusan sejak 1998 di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir, diteruskan oleh Tun Abdullah dan dikekalkan oleh Perdana Menteri sekarang.

Justeru, sebelum Bajet 2013 dibentangkan, Pemuda PAS mengajak seluruh rakyat menilai kejayaan Bajet 2012 dengan memberikan pertanyaan berikut, “Adakah peruntukan Bajet 2012 ditepati? Adakah matlamat Bajet 2012 dicapai?” dan yang lebih penting, “Adakah Bajet 2013 membawa masa depan yang sejahtera kepada anak cucu kita?” Selamatkan Malaysia!

Penulis ialah Pengarah Institut Polisi Studi Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan